Pekebun mengaku tidak bersalah cederakan anggota polis

Abd Razak Mohd Ali
Februari 9, 2024 12:40 MYT
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat. - Astro AWANI
IPOH: Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah seorang anggota polis dengan melanggarnya, pada Ahad
Tertuduh, T. Kuna, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta jenis Proton Iriz.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan ladang sawit Jalan Chemor Tanjung Rambutan, Ipoh kira-kira pukul 8 malam, 4 Februari lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dan memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam untuk tertuduh.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada Ahad, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berumur 34 tahun, patah tulang rusuk dan tulang bahu akibat dilanggar dua kali oleh sebuah kereta ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan - Chemor.
Pada Selasa, lelaki itu bersama tunangnya yang berumur 33 tahun direman selama seminggu sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan.
#pekebun #anggota polis #cedera parah #langgar
;