Pekebun kecil raih pendapatan tinggi dengan ketum - Pengerusi RISDA

Astro Awani
Ogos 2, 2016 17:36 MYT
Datuk Zahidi menoreh pokok getah sebagai gimik perasmian majlis gerakan peningkatan produktiviti RISDA peringkat negeri hari ini. - Foto Bernama
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mencadangkan penanaman pokok ketum hanya bagi membantu pekebun kecil yang terhimpit dengan kejatuhan harga komoditi di pasaran dunia.
Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata negara- negara seperti Amerika syarikat dan di Eropah kini menawarkan permintaan tidak terhad kepada Malaysia untuk membekalkan daun ketum bagi tujuan perubatan.
Menurutnya, selain meningkatkan hasil negara ianya dapat memanafaatkan lebih 500 ribu pekebun kecil seluruh negara menikmati pendapatan tambahan RM1,000 bagi setiap ekar tanaman itu.
“Kalau kita lihat di sini pendapatan berganda-ganda kita ambil contoh kelapa sawit satu ekar antara RM100-RM200 seekar. Kalau ketum lebih RM1,000, apa lagi kalau guna mata wang asing. Ini yang kita lihat dapat membantu pekebun kecil.
"Namun ada sesetengah masyarakat yang masih membayangkan air ketum dalam botol tetapi belah sana (negara lain) menyebut ketum mempunyai nilai perubatan,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu penanaman ketum.
'Keputusan isu ketum hak majlis agama negeri' - Asyraf Wajdi
Beliau turut menempelak pihak yang membantah cadangan RISDA membantu pekebun kecil supaya melihat penamanan komersial ketum itu secara positif dengan kawal selia teratur.
Pekebun kecil katanya, hanya boleh menjual daun ketum kepada RISDA dengan harga AS$20 sekilogram selain ia boleh dikawal.
"Kalau pekebun kecil tanam ketum dan ada orang nak beli harga RM20 sekilogram (itu disalah guna), tapi kalau Risda bayar AS$20, dia (pekebun kecil) nak jual dengan siapa. Kita boleh kawal... contoh kalau jual dekat orang luar, kita kenakan tindakan.
"Tetapi pendek cerita pendapatan pekebun kecil akan bertambah. Takkan mereka nak buat salah kalau dapat pendapatan lebih," katanya lagi.
#daun ketum #Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah #risda #Zahidi Zainul Abidin
;