Pekebun kecil kelapa sawit diseru guna teknologi untuk tingkatkan hasil
Bernama
Disember 15, 2020 05:48 MYT
Disember 15, 2020 05:48 MYT
KUALA LUMPUR: Industri kelapa sawit, terutamanya pekebun kecil yang kini mencecah setengah juta, disaran menggunakan mekanisasi dan teknologi bagi meningkatkan hasil saiz ladang mereka yang agak terhad, menurut kumpulan pemikir indusrti perladangan.
Lapan panelis dari kumpulan yang berkongsi pandangan mereka pada hari kedua Sidang Kemuncak Minyak Sawit Bukti Masa Depan (FPPO) 2020 hari ini berkata pekebun kecil ini perlu berubah untuk menguruskan ladang mereka dengan lebih baik dan meningkatkan hasil mereka.
"Mereka tidak perlu berbelanja lebih bagi mendapatkan peranti yang paling canggih tetapi cukup sekadar mendapatkan telefon pintar asas bagi memantau keadaan kerja melalui telefon bimbit termasuk mengambil gambar tanaman, memantau hasil, air dan penggunaan baja.
"Mereka perlu merekodkan apa sahaja yang sedang berlaku di ladang mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif PT e-Komoditi Solution, Ferron Haryanto.
Sama dengan pandangan beliau, Pengurus Jualan Serantau Asia Tenggara Planet Labs Inc, Shih Shen Wong berkata gangguan yang dibawa oleh teknologi baharu ini boleh digunakan penanam ke atas ladang sawit mereka dan boleh meningkatkan hasil.
"Ini amat penting memandangkan Malaysia telah berikrar untuk mengehadkan jumlah kawasan tanamannya kepada 6.5 juta hektar menjelang 2023, dalam usaha menangani dakwaan bahawa pengembangan ladang kelapa sawit telah membawa kepada penebangan hutan," katanya.
Menurut Shih, isu ini boleh diselesaikan dengan penggunaan kecerdasan buatan dan teknologi rantaian blok (lejar teragih bagi kebolehkesanan).
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Kanan dan Ketua Unit Pembiakan serta Pengkulturan Tisu Lembaga Minyak Sawit Malaysia Dr Meilina Ong-Abdullah ketika bercakap mengenai peningkatan hasil berkata lembaga itu sedang berusaha untuk mempercepatkan percambahan benih melalui pengklonan sawit dengan ciri-ciri khas serta baka yang tinggi dalam karotena dan vitamin E.
Bagaimanapun, akan ada beberapa cabaran seperti kos yang lebih tinggi termasuk pihak mana yang akan menanggung kos berkenaan walaupun terdapat potensi besar dalam pengembangan hasil serta meningkatkan pendapatan.
"Perlu ada perubahan dasar untuk menyokong inisiatif ini. Penyelesaian yang bagi penerimaan klon mungkin perlu melibatkan arahan dasar oleh kerajaan, model perniagaan yang berpotensi dan model kemakmuran bersama.
"Bagi arahan dasar, untuk menggalakkan penanaman klon, sekurang-kurangnya 10 peratus bahan klon perlu dimasukkan dalam program penanaman semula dan pengeluar klon perlu memperuntukkan lima hingga 10 peratus pengeluaran mereka kepada pekebun kecil atau mana-mana pihak lain sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat mereka," jelas beliau.
Seorang lagi ahli panel telah mencadangkan peningkatan hasil dengan mengintegrasikan industri kelapa sawit dengan Industri 4.0 dan bioteknologi perindustrian, yang juga dikenali sebagai Industri X.
"Industri X boleh membuka potensi hasil tersembunyi tanpa pengembangan hektar. Bioteknologi adalah teknologi yang terbukti untuk proses pengilangan minyak sawit yang lebih cekap dan mesra alam agar mampu maju ke hadapan.
"Ia juga membolehkan pengeluar minyak sawit memproses sisa menjadi wang yakni sebagai sumber biodiesel. Industri pengilangan minyak sawit masih berkembang dan untuk penambahbaikan, ia memerlukan campur tangan ramai termasuk saintis serta jurutera," kata Setiausaha Kehormat, IChemE di Lembaga Malaysia dan Pengerusi IChemE Palm Oil Processing Special Interest Group, Hong Wai Onn.
Selain meningkatkan hasil, kumpulan pemikir ini juga percaya bahawa teknologi pengilangan minyak sawit perlu berkembang.
"Keadaan operasi jentera dan peralatan di kilang sawit juga menjadi faktor dominan yang memberi kesan ke atas kehilangan minyak dan kadar perahan minyak (OER).
"Oleh itu, penambahbaikan dalam pengoperasian mesin mungkin boleh meningkatkan OER yang seterusnya, akan membantu mengurangkan kerugian kilang sawit," kata Prof Robiah Yunus, Pengarah Institut Kajian Perladangan dan Profesor Kumpulan Penyelidikan Produk serta Teknologi Berdasarkan Bio, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia.
Beberapa penyelidikan mendapati menjelang 2050, dunia memerlukan 156 juta tan minyak sawit mentah berbanding 65 juta tan yang dihasilkan pada 2019.
Memandangkan batasan untuk memenuhi permintaan pasaran minyak sawit akibat had tanah dan kekurangan tenaga kerja, oleh itu adalah kritikal bagi industri untuk meningkatkan hasil melalui pemodenan serta penyelidikan dan pembangunan, kata Robiah.
FPPO 2020 adalah acara empat hari yang bermula semalam, bertujuan menangani isu-isu berkaitan minyak sawit dan mengesyorkan penyelesaian melalui perbincangan mengenai pasaran, dasar, strategi, teknologi, dan inovasi.
-- BERNAMA
#minyak kelapa sawit
#industri kelapa sawit
#Ferron Haryanto
#Sidang Kemuncak Minyak Sawit Bukti Masa Depan
#FPPO
#Meilina Ong-Abdullah