Pekebun kecil getah, pesawah, nelayan bersyukur dapat 'duit raya'
Bernama
Mac 30, 2023 17:15 MYT
Mac 30, 2023 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan menzahirkan kesyukuran dengan berita gembira pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM200 kepada mereka yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Mereka menyifatkan bantuan berkenaan sebagai bukti kesungguhan dan kepekaan Kerajaan Persekutuan dalam mengutamakan kebajikan pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sekali gus membantu meringankan beban golongan itu dalam membuat persiapan menyambut lebaran.
Di KEDAH, pesawah terutama yang terjejas akibat bencana banjir dan kejadian tanah jerlus di negeri itu baru-baru ini menyifatkan bantuan tambahan khas itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka.
Pesawah dari Kampung Titi Haji Idris, Pendang di sini, Jamaludin Mahmud, 67, yang juga mangsa bencana itu berkata dia lega dengan bantuan khas berkenaan kerana dapat mengurangkan tekanan kewangan kerana pendapatan hasil sawah terjejas akibat banjir.
Ahmad Abu Bakar, 72, dari Taman Impian, Alor Setar yang sudah mengusahakan sawah lebih 40 tahun berkata bantuan itu dapat dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan termasuk persiapan serta kelengkapan menyambut Aidilfitri.
Di NEGERI SEMBILAN, Othman Parman, 67, antara peneroka yang menerima manfaat berkenaan turut berharap jumlah bantuan khas itu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa bersesuaian dengan trend kos sara hidup kini semakin meningkat.
"Saya berterima kasih dengan bantuan tersebut, kita harapkan semua penoreh getah dapat merasai bantuan khas itu, saya menoreh kebun sendiri, jadi mereka yang menoreh getah orang lain juga diharapkan menerima bantuan itu kerana pendapatan mereka lebih terhad," katanya yang berasal dari Jempol.
Senada denganya, penoreh Jamal Borhan, 51, turut mengharapkan kadar bantuan tersebut dapat dinaikkan pada masa akan datang terutamanya bagi membantu penoreh getah yang mempunyai keluarga besar.
Golongan nelayan di TERENGGANU yang turut menerima manfaat bantuan khas kewangan Aidilfitri itu berkata ia bukan sahaja membantu untuk persiapan menyambut hari perayaan malah ada yang menggunakannya bagi membeli barangan keperluan persekolahan anak-anak.
Bagi nelayan pantai, Kamaruddin Osman, 58, yang terjejas berikutan musim tengkujuh beberapa bulan lepas, bantuan itu membolehkannya membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.
"Empat bulan tanpa pendapatan dan tiba-tiba bulan Mac kena belanja besar untuk sekolah tiga anak. Memang terduduk juga kerana semua anak di sekolah menengah, terpaksa harapkan duit isteri yang buat kuih sikit-sikit hantar ke kedai," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Maras di sini, hari ini.
Perdana Menteri ketika mengumumkan khabar gembira itu semalam berkata, bantuan berkenaan bakal memberi manfaat kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan yang menelan belanja RM170 juta ringgit.
Dalam Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi bagi tempoh tiga bulan semusim, serta menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan kepada pekebun kecil getah.
-- BERNAMA