Pekebun kecil diseru manfaat pertanian berskala besar
Hasimi Muhamad
Oktober 26, 2019 05:46 MYT
Oktober 26, 2019 05:46 MYT
Kerajaan komited untuk memberikan sokongan kepada pekebun-pekebun kecil untuk terlibat dengan sektor pertanian yang berskala besar.
Menurut perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, konsep pertanian estet mampu meningkatkan hasil keluaran dan pendapatan pengusaha bidang pertanian.
Bagaimanapun, ujar Dr Mahathir, usaha tersebut tidak harus diletakkan di bahu kerajaan sahaja, sebaliknya ia perlu melibatkan sokongan sektor swasta.
“Khazanah (Nasional Bhd), tetapi tidak perlu kerajaan sahaja memasuki bidang ini, sektor swasta juga perlu buat.
“Khazanah dulu melabur luar negara kerana keadaan iklim pelaburan di Malaysia pada masa itu sendiri tidak begitu baik kerana pemerintahan ketika itu tidak memberikan galakan.
"Jadi, mereka terpaksa melabur (di luar negara) bagi mendapatkan keuntungan," kata beliau pada sidang media bersama media Malaysia, di sini, pada Sabtu.
Sebelum itu, Perdana Menteri berpeluang melawat Green Tech Farm di bandar Baku bagi melihat sendiri hasil tanaman dan pengeluaran buah tomato yang diusahakan syarikat makanan konglomeret terbesar di Azerbaijan, Azersun.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata selain mempunyai sistem teknologi moden, kejayaan Green Tech Farm dalam pengeluaran buah tomato adalah kerana ia diusahakan secara besar-besaran.
Jelas beliau, pengusaha ladang di Malaysia mempunyai kemahiran yang terhad dan tidak mampu menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran.
"Kita tidak ada pertanian atau sayur seperti di sini (besar-besaran). Kita memang cekap dalam bidang perladangan besar seperti kelapa sawit dan getah, tetapi untuk penanaman besar seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga, ia tidak ada usaha yang serius.
"Sektor ini diusahakan kecil-kecilan sahaja, dan ini tidak akan memberi pulangan yang banyak," katanya.
#Green Tech Farm
#Khazanah
#Mahathir Mohamad
#pekebun kecil
#pertanian berskala besar
#pertanian estet