Pekebun dibunuh dipercayai angkara cemburu

Shafiq Noordin
Mei 28, 2017 06:10 MYT
Angkara cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki dibunuh dengan kejam di Pengkalan Sungai Kerang, Padang Gajah di sini pada malam Sabtu. -Gambar hiasan
Angkara cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki dibunuh dengan kejam di Pengkalan Sungai Kerang, Padang Gajah di sini pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata mangsa Wong Chee Kheong, 43, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada jam 9.35 malam.
Katanya, mayat mangsa yang juga seorang pekebun itu mempunyai kesan kecederaan di bahagian kepala, pipi dan lengan dipercayai disebabkan senjata tajam.
“Dipercayai punca serangan yang menyebabkan kematian mangsa ialah kerana suspek cemburu atau marah dengan mangsa yang disyaki mempunyai hubungan intim dengan isterinya.
“Tempat mangsa dijumpai lebih kurang 30 meter dari rumah suspek dalam kampung yang sama dan disyaki serangan bermula dari belakang rumah suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, susulan itu, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek berusia 34 tahun yang menghilangkan diri bersama isterinya warga Thailand.
#angkara cemburu #isteri warga Thailand #pekebun #pengkalan sungai kerang #wong chee kheong