Pekebun buah maut ditikam akibat cemburu

Astro Awani
November 21, 2019 10:12 MYT
Seorang pekebun buah ditemui mati dengan kesan tikaman disyaki dibunuh di Jalan Kampung Baru Kundang, Rawang malam tadi. -Astro AWANI
Seorang pekebun buah ditemui mati dengan kesan tikaman disyaki dibunuh di Jalan Kampung Baru Kundang, Rawang malam tadi.
Mangsa ditemui terbaring oleh seorang rakan di tepi jalan kira kira jam 8.55 malam bersama barangan miliknya serta sebuah motosikal.
Polis sebelum itu menerima panggilan kecemasan yang mendakwa terdapat kes pergaduhan di lokasi berkenaan.
Setiba di lokasi, polis menemukan mangsa yang berusia 45 tahun itu terbaring tidak sedarkan diri. Terdapat kesan luka di dada sebelah kiri mangsa disyaki akibat terkena senjata tajam.
Mangsa disahkan maut oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Kuang dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pekebun sayur.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat cemburu berikutan mangsa didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita warga Indonesia disyaki rakan suspek.
Polis sedang memburu beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kejadian ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak di talian 03-61262222 atau pegawai penyiasat ASP I. Agilan di talian 019-523 0801.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#Arifai Tarawe #Hospital Sungai Buloh #Jalan Kampung Baru Kundang #Klinik Kesihatan Kuang #luka di dada #pekebun buah #pergaduhan
;