Pekebun buah-buahan perlu berani lakukan transformasi

Bernama
Jun 3, 2023 04:00 MYT
Lim turut mencadangkan agar pekebun membangunkan kebun mereka ke arah ekopelancongan memandangkan Klebang adalah antara pusat pertanian terbesar di Melaka. - Foto Facebook/Lim Ban Hong
MELAKA: Pengusaha kebun buah-buahan di Melaka khususnya di Klebang perlu berani mentransformasikan kaedah pengurusan kebun mereka agar dapat memperoleh hasil pengeluaran yang lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata transformasi itu perlu merangkumi kaedah penanaman, pemasaran dan mempelbagaikan produk daripada hasil buah-buahan dengan menggunakan medium yang lebih canggih.
"Masih ada pengusaha kebun menguruskan kebun mereka secara tradisional dan tranformasi ke arah pemodenan kebun perlu dilakukan.
"Justeru mereka perlu berubah kepada penggunaan peralatan lebih moden dari aspek teknologi, sistem atau mesin dan perubahan secara berperingkat ini akan secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing," katanya kepada pemberita selepas melawat kebun jambu Chan Agrotech di Jalan Setulang Daeng, Kampung Bukit Rambai di sini pada Sabtu.
Katanya transformasi tersebut penting memandangkan pengurusan kebun memerlukan ramai pekerja dan kekangan tenaga kerja asing yang berlaku sekarang boleh merencatkan pengeluaran hasil.
"Saya difahamkan masih ramai pengusaha kebun buah-buahan di Klebang malah di kawasan lain menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja memandangkan anggaran keluasan keseluruhan tanah pertanian di bawah Skim Pengairan di kawasan ini adalah seluas 815 hektar dan daripada jumlah tersebut, seluas 15 hektar aktif dengan aktiviti penanaman buah-buahan seperti pisang, tembikai, jambu, mangga dan jagung.
"Dalam konteks ini saya akan membantu dengan cara menghubungi Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja agar lebih ramai tenaga pekerja asing dapat disalurkan untuk melancarkan pengurusan kebun buah-buahan di sini, malah di seluruh Melaka," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pengusaha untuk membangunkan industri hiliran iaitu hasil buah yang ditanam turut dijadikan produk lain seperti jus atau buahan kering, sebagai usaha untuk tidak bergantung kepada penjualan buah segar semata-mata.
Lim turut mencadangkan agar pekebun membangunkan kebun mereka ke arah ekopelancongan memandangkan Klebang adalah antara pusat pertanian terbesar di Melaka.
"Kita ada produk yang baik dan untuk itu saya cadangkan agar tempat seumpama Chan Agrotech ini dibangunkan sebagai produk ekopelancongan sejajar dengan Tahun Melawat Melaka 2024 nanti.
"Konsep ini akan memberi peluang anak-anak generasi muda dan masyarakat kota merasai suasana di kebun buah-buahan dan berkongsi pengalaman proses tanamam dilakukan bersama pengusaha," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Sumber Manusia #pekerja asing #ekopelancongan #generasi muda
;