Pekan Sik, kawasan sekitar dilanda banjir kilat

Adie Sufian Zulkefli
November 6, 2021 14:36 MYT
Hujan yang mula turun jam 4 petang berlarutan sehingga jam 7 malam tadi mengakibatkan Pekan Sik dan Kampung Banggol Kiat dinaiki air. - Gambar/ PDRM
SIK: Hujan lebat hampir tiga jam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Sik dilanda banjir kilat, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Abdull Razak Osman berkata, hujan mula turun jam 4 petang berlarutan sehingga jam 7 malam tadi mengakibatkan Pekan Sik dan Kampung Banggol Kiat dinaiki air.
“Air naik dengan cepat memasuki premis perniagaan dan kediaman penduduk sedalam 0.3 hingga 0.5 meter.
“Kebanyakan mangsa tidak sempat mengalihkan barang ke tempat tinggi mengakibatkan berlaku kerosakan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Abdull Razak berkata, sehingga sekarang pasukan pemantau banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik masih memantau keadaan dan memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas.
#banjir kedah #sik #banjir kilat #Abdull Razak Osman