Peka SOP bina rumah di lokasi banjir - PKBM
Astro Awani
Januari 26, 2021 14:40 MYT
Januari 26, 2021 14:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat-syarikat perumahan perlu lebih peka kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam isu pembinaan rumah terutama di lokasi mudah berlaku banjir.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, ia sekali gus dapat mengelakkan pembeli rasa tertipu apabila beberapa perkara yang perlu diadakan akhirnya tidak dapat dipenuhi pihak pemaju dalam setiap pembinaan perumahan.
"Kita boleh naikkan paras tebing di tepi sungai ini supaya apabila berlakunya banjir, maka air itu tidak terus melimpah ke taman perumahan.
"Kedua. kita mungkin boleh cadangkan pemaju perumahan adakan sistem amaran dan isyarat awal jika berlaku banjir.
"Kemudian boleh cadangkan sistem pengumpulan air yang baik supaya jika berlaku banjir, air itu boleh terus ke tempat pengumpulan air ini," katanya semasa sidang video pada Selasa.
Dalam pada itu kata Azman, sistem yang sedia ada di negara ini perlu dipertingkatkan lagi.
"Jadi ini adalah penting kerana kita rasa simpati kepada pembeli perumahan yang menghuni di situ, takkan setiap kali banjir mereka akan rugi.
"Kita memohon supaya pemaju-pemaju perumahan, janganlah memikirkan keuntungan semata-mata tetapi simpati kepada penghuni rumah ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Bekas Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), AR Mohd Zulhemlee An menjelaskan, adalah lebih efektif jika pihak berkenaan mencari jalan atau inovasi untuk mengurangkan kesan banjir daripada menghasilkan rumah berteknologi tinggi.
Ujarnya, beberapa kajian sudah dijalankan namun hasilnya masih belum lagi nampak dikomersialkan.
"Kalau kita tengok pada zaman moden sekarang ini, sepatutnya sudah ada teknologi di mana rumah-rumah sudah dibina dengan teknologi hidraulik, contohnya bila berlaku musim banjir rumah-rumah itu, tidak tenggelam, mungkin dia boleh terapung atau mungkin dengan sendiri boleh menaikkan aras kepada aras yang lebih tinggi dari aras banjir.
"Kajian ada dibuat terutamanya dalam universiti. Saya ada lihat beberapa projek yang dicadangkan pelajar untuk mengatasi masalah banjir.
"Rumah-rumah itu dibina dengan bahan yang boleh terapung contohnya, tapi sayangnya kita tak nampak lagi hasil kajian ini dikomersialkan," ujarnya.