Peka keadaan sekitar, elak insiden lemas - MB Terengganu

Nur Fazlizai Ali
Januari 1, 2019 14:49 MYT
Papan tanda amaran yang diletakkan di kawasan itu sebelum ini dikatakan dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan orang ramai supaya peka dengan keadaan persekitaran terutama di pantai sebelum melakukan sebarang aktiviti pada musim tengkujuh ini.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan insiden yang tidak diingini termasuk kes lemas terus berulang.
Malah, kerajaan negeri juga kata beliau, mengambil langkah proaktif termasuk meletakkan papan tanda amaran di kawasan berisiko kemalangan.
"Keadaan air laut atau sungai berbeza-beza. Oleh itu, orang ramai perlu peka dengan keadaan semasa selain mendengar maklumat daripada penduduk tempatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di kawasan pantai terbabit mendapati tiada papan tanda amaran di kawasan itu.
Papan tanda amaran yang diletakkan di kawasan itu sebelum ini dikatakan dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
BACA: Pilu, tiga beradik mangsa lemas Pantai Sura disemadikan dalam satu liang lahad
BACA: "Semua anak pergi sekelip mata..." - Bapa tiga beradik lemas
Pada Ahad lalu, tiga beradik ditemui lemas selepas ditelan ombak besar ketika bermain di Pantai Sura, Teluk Lipat, Dungun dalam kejadian jam 6.40 petang.
Bagaimana pun mayat kesemua mangsa yang berasal dari Kelantan itu berjaya ditemui sekitar jam 7.38 minit pagi hingga 11.05 pagi Isnin pada jarak satu hingga lima kilometer daripada mangsa dilaporkan hilang.
#air #Dr Ahmad Samsuri Mokhtar #Dungun #hilang #kemalangan #lemas #mangsa #mayat #Menteri Besar #Pantai Sura #Teluk Lipat
;