PeKa B40: Dari 4.9 juta penduduk yang layak, hanya 561,990 yang jalani saringan - Khairy

Firdaus Azil
Februari 19, 2022 18:12 MYT
Sikap endah tidak endah sebilangan besar masyarakat B40 dalam aspek penjagaan kesihatan agak merisaukan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. - Gambar fail/BERNAMA
BATU PAHAT: Sikap endah tidak endah sebilangan besar masyarakat B40 dalam aspek penjagaan kesihatan agak merisaukan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, berdasarkan statistik dari Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), lebih 4.9 juta penduduk layak untuk membuat saringan kesihatan percuma, namun hanya 561,990 saringan saja yang direkodkan.
Khairy berkata, rakyat tidak seharusnya menganggap perkhidmatan kesihatan hanya disediakan untuk orang yang sakit sahaja.
“Di peringkat Nasional, PeKa B40 telah menyaring lebih 561,990 orang. Tetapi jumlah yang layak untuk dapat saringan melalui Peka B40 sejumlah 4.9 juta orang rakyat Malaysia yang layak, yang disaring hanya 561 ribu saja.
“Ini sesuatu yang membimbangkan kita. Kita tak mahu rakyat Malaysia anggap, perkhidmatan kesihatan hanya ada disediakan bila kita sakit. Dah sakit baru kita cari doktor, baru cari klinik, baru cari KKM,” katanya lagi.
Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas selesai meninjau pelaksanaan PeKa B40, di Klinik Kurnia, di sini hari ini.
Dalam satu kenyataan pada 4 Februari lepas, Khairy berkata, KKM sebelum ini telah memperkenalkan program PeKa B40 bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah.
Ia merangkumi saringan kanser tertentu, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.
“Saya risau sebab jumlah yang layak ini sangat besar, tetapi yang tampil untuk dapatkan perkhidmatan PeKa B40 ini sangat, sangat rendah.
“Ini benda free. Bukan kita minta mereka bayar. Ini ditanggung oleh kerajaan. Walapun saringan ini dibuat oleh klinik swasta, ini ditanggung sepenuhnya,” katanya lagi.
Khairy berkata, soal kesihatan tidak tertumpu kepada pengurusan COVID-19, semata-mata, dan KKM akan kembali memberi tumpuan kepada pengurusan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya.
#Peka B40 #penjagaan kesihatan #saringan kesihatan #Skim Peduli Kesihatan #Kumpulan B40 #KKM
;