Pejuang Muda mahu LPPR profesional, cutikan Azam Baki

Azyyati Ahmad
Januari 7, 2022 12:29 MYT
Pada sidang media Rabu lalu, Abu Zahar (kiri) menyatakan pihaknya puas hati dengan penjelasan Azam (kanan) berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
KUALA LUMPUR: Pejuang Muda Malaysia mengingatkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM untuk bertindak profesional dan tidak merendahkan nilai intelektual rakyat Malaysia.
Ketuanya Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada "kualiti penjelasan" Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham olehnya.
Abu Hafiz mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM itu direhatkan dari meneruskan tugasnya sehingga siasatan yang dilakukan oleh sebuah badan bebas selesai.
Dia juga mahu LPPR SPRM yang dipengerusikan Tan Sri Abu Zahar Ujang dibubarkan serta merta "kerana dilihat gagal bertindak secara profesional, kurang kecekapan dan sangat memihak kepada pihak tertentu,
“Kegagalan pentadbiran SPRM untuk bertindak dengan moral yang tinggi boleh membuatkan badan pencegahan rasuah itu kehilangan integriti, kepercayaan dan kredibiliti dalam memerangi rasuah,” katanya.
SEMUA MENGENAI KONTROVERSI MEMBABITKAN AZAM BAKI DI SINI
Pejuang Muda turut mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri membisu dan mengunci mulut berkenaan skandal yang menggemparkan ini.
Pada sidang media Rabu lalu, Abu Zahar menyatakan rasa puas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Katanya, tiada keperluan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam.
#Azam Baki #Pejuang Muda Malaysia #SPRM #pemilikan saham penjawat awam
;