Pejuang kanser payudara menang hadiah utama cabutan bertuah 'Belanja dan Menang' PJM2022
Bernama
Oktober 22, 2023 08:00 MYT
Oktober 22, 2023 08:00 MYT
PUTRAJAYA: Pejuang kanser payudara Norhashimah Nordin, 48, semalam membawa pulang sebuah kereta Proton X50 apabila muncul pemenang hadiah utama menerusi cabutan bertuah 'Belanja dan Menang' sempena Program Jualan Malaysia (PJM) 2022.
Hadiah tersebut disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, pada sesi cabutan siri akhir PJM2022, yang merupakan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Bercakap kepada pemberita selepas sesi penyampaian hadiah cabutan bertuah itu, Norhashimah berkata dia tidak menyangka menjadi pemenang hadiah utama selepas membelanjakan kira-kira RM300 untuk melayakkannya menyertai cabutan bertuah berkenaan.
"Saya terkejut dan sangat tidak sangka ketika dihubungi penganjur baru-baru ini mengatakan saya tersenarai antara 15 calon pemenang bagi cabutan bertuah ini," katanya.
Norhashimah yang menghidap kanser payudara tahap tiga menyifatkan hadiah yang dimenangi buat julung kalinya itu sebagai rezeki selepas menghantar 10 penyertaan melalui aplikasi MySales Tracker.
Sementara itu pada sidang media, Fuziah berkata cabutan bertuah 'Belanja dan Menang' PJM2022 yang dilaksanakan bermula 1 Ogos hingga 31 Dis 2022, adalah satu daripada segmen utama bagi mempromosikan PJM yang merupakan inisiatif kerajaan untuk memulih, merancak dan menghidupkan semula sektor peruncitan negara.
Sepanjang lima siri cabutan berkenaan, seramai 211 pemenang bertuah telah membawa pulang pelbagai hadiah yang ditawarkan.
Bagi siri akhir cabutan bertuah 'Belanja dan Menang' PJM2022 yang diadakan semalam, sebanyak 15 hadiah ditawarkan kepada pemenang termasuk tiga hadiah utama iaitu kereta Proton X50, Perodua Ativa dan motosikal Yamaha Y15ZR.
Fuziah berkata sepanjang pelaksanaan PJM2022, sektor peruncitan telah berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM661 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM500 bilion.
Beliau berkata sebanyak 302,522 premis perniagaan telah terlibat untuk mengadakan program jualan murah sepanjang tahun lepas.
"Pelaksanaan PJM2022 telah berjaya mencapai objektif ditetapkan kementerian. Jadi untuk tahun ini, kami (KPDN) akan tumpukan kepada program Jualan Rahmah, francais dan Kempen Beli Barangan Malaysia," katanya.
Fuziah berkata pelaksanaan PJM2022 turut meningkatkan bilangan pengguna yang memuat turun aplikasi MySales Tracker iaitu seramai 164,543.
"Aplikasi ini bukan sahaja sebagai saluran untuk masuk pertandingan cabutan bertuah, tetapi turut menyediakan maklumat lokasi premis yang adakan jualan murah untuk kemudahan pengguna," katanya.
-- BERNAMA