Pejuang desak percepat proses vaksinasi untuk media

Firdaus Azil
Jun 7, 2021 11:23 MYT
Petugas media, terutamanya jurugambar dan juruvideo, terpaksa keluar setiap hari untuk mengambil visual, dengan niat menabur bakti bagi negara untuk menangani COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meminta kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi bagi pengamal media yang telah berdaftar, seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Ketua Penerangannya Ulya Aqamah Husamudin berkata, petugas media juga adalah barisan hadapan dan kerajaan disaran mempermudah urusan mereka yang menyalurkan maklumat kepada rakyat.
Beliau juga meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin untuk mengotakan janji yang dibuat sebelum ini.
“Pada 18 April lalu, Saifuddin meminta pihak pentadbiran kerajaannya sendiri supaya menyegerakan pemberian vaksin kepada pengamal media memandangkan mereka juga adalah barisan hadapan.
“Beliau seterusnya berkata, vaksinasi membabitkan pengamal media mungkin dibuat dalam fasa dua PICK yang bermula pada April.
"Pada 28 April pula, Khairy mengumumkan seramai 1,500 petugas media akan diberi vaksinasi pada bulan Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MEDIA BELUM DIVAKSINASI "Malangnya sehingga 7 Jun, dua bulan selepas fasa kedua PICK telah bermula, ternyata kedua-dua Menteri yang bertanggungjawab untuk vaksinasi pengamal media gagal menepati janji mereka."#CucukMYPress #VaccineforMediaMY pic.twitter.com/mnGOtEB14a

— PEJUANG TanahAir (@PejuangRasmi) June 7, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Malangnya, tambah Ulya Aqamah, sehingga hari ini, hampir dua bulan selepas fasa kedua PICK bermula, kedua-dua menteri yang bertanggungjawab untuk vaksinasi pengamal media didakwa gagal menepati janji.
Tegasnya lagi, pelbagai program anjuran kerajaan dalam usaha menangani COVID-19 memerlukan kehadiran pengamal media untuk membuat liputan secara fizikal.
“Pengamal media sering mengenepikan keselamatan diri bertugas di lapangan termasuk membuat penggambaran di hospital serta pengebumian dan bilik mayat mangsa COVID-19.
“Pengamal media juga mempunyai keluarga dan jika dibandingkan dengan beberapa sektor yang lain, petugas media terutamanya jurugambar dan juruvideo, terpaksa keluar setiap hari untuk mengambil visual.
"Niatnya ialah menabur bakti bagi negara untuk menangani COVID-19, sekali gus mencapai imuniti kelompok,” katanya lagi.
Terdapat segelintir petugas media yang mengambil inisiatif sendiri, selain berdaftar dengan MySejahtera, merebut peluang melalui pendaftaran fasa pertama dan kedua vaksin Astrazeneca.
Rata-rata mereka beranggapan, lebih baik cuba merebut peluang yang ada, daripada menunggu giliran seperti biasa dan terus berhadapan dengan risiko berada di lapangan setiap hari.
#Parti Pejuang Tanah Air #Pejuang #vaksin #Media #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #imuniti kelompok #pandemik #PKP #Saifuddin Abdullah #Khairy Jamaluddin #Facebook #Twitter
;