Pejuang dakwa kerajaan langgar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat
Afiezy Azaman
Ogos 2, 2021 10:55 MYT
Ogos 2, 2021 10:55 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa kerajaan telah melanggar Perkara 36(7) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menegah penyalahgunaan nama Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri-Negeri bagi mempengaruhi Majlis Mesyuarat.
Dalam kenyataan bersama beberapa Ahli Parlimen Pejuang hari ini, parti itu menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh ahli Kabinet meletak jawatan masing-masing.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
"Kami, Ahli-ahli Parlimen Pejuang, menjunjung kasih atas penjelasan daripada Istana Negara berkaitan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
"Kami juga berpendapat, atas semua tindakan-tindakan yang melanggari prinsip Demokrasi Berparlimen, serta penghinaan terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka kami Ahli-Ahli Parlimen Pejuang menyarankan agar Muhyiddin serta seluruh Jemaah Menteri mengambil jalan terhormat dengan segera berundur dari jawatan masing-masing.
"Hanya dengan cara ini kemelut politik berlarutan dapat berakhir dan tumpuan sepenuhnya boleh diberikan kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang kini melanda negara sejak lebih tujuh belas bulan yang lepas," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Mesyuarat Khas Parlimen berlangsung empat hari mulai 26 hingga 29 Julai lalu dan sepatutnya berakhir hari ini.
Khamis lalu, Mesyuarat Khas Parlimen kecoh susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan baginda.
Terdahulu pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan bersetuju untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini dan Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.
#Dewan Rakyat
#Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#Mukhriz Mahathir
#Parlimen
#Perdana Menteri
#Takiyuddin Hassan
#undang-undang
#Yang di-Pertuan Agong
#Pejuang