Pejalan kaki mangsa langgar lari meninggal dunia

Abd Razak Mohd Ali
Julai 30, 2024 08:00 MYT
Wanita warga emas yang dipercayai menjadi mangsa langgar lari ketika melintas jalan berhampiran lampu isyarat Jalan Pasir Puteh - Jalan Lahat, Ipoh, awal pagi semalam, meninggal dunia pada sebelah petangnya. - Gambar hiasan
IPOH: Wanita warga emas yang dipercayai menjadi mangsa langgar lari ketika melintas jalan berhampiran lampu isyarat Jalan Pasir Puteh - Jalan Lahat, di sini, awal pagi semalam, meninggal dunia pada sebelah petangnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis menerima makluman daripada pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengenai kematian wanita berusia 64 tahun itu kira-kira jam 2.50 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 6.05 pagi itu melibatkan sebuah lori nombor pendaftaran masih belum dikenali, datang dari arah Pasir Puteh menghala ke Persiaran Lahat Mines.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan secara tiba-tiba dari kiri ke kanan jalan.
“Akibatnya, mangsa telah tercampak ke kiri jalan lalu jatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Bagaimanapun, ujarnya, pemandu bersama lori tersebut tidak berhenti dan terus beredar dari tempat kejadian, dipercayai telah lari manakala mangsa dihantar ke HRPB untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya).
Abang Zainal Abidin berkata, polis meminta saksi untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
#langgar lari #warga emas #Ipoh #meninggal dunia
;