Pejalan kaki ditemui maut, kepala berlumuran darah
Mirlen Axtius
September 18, 2022 11:21 MYT
September 18, 2022 11:21 MYT
KOTA KINABALU: Seorang lelaki pejalan kaki ditemukan maut dan dipercayai dilanggar kenderaan berhampiran sebuah restoran di Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang berusia 41 tahun itu ditemukan dalam keadaan kepala berlumuran darah pada 1.20 pagi.
Katanya, mangsa ditemui oleh seorang penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut dan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Berdasarkan pemeriksaan ke atas mangsa pejalan kaki itu, dipercayai mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan dan nombor pendaftaran tidak diketahui.
"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala berkemungkinan akibat kesan hentakkan oleh objek keras.
"Terdapat kesan lurus di atas jalan raya pada lorong sebelah kiri disyaki kesan brek sebuah kenderaan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zaidi, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca semasa mangsa cuba melintas jalan.
Siasatan akan diteruskan bagi mengesan kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.