Pejabat Zuraida nafi ada kaitan kes penipuan bernilai RM4 juta
Sinar Harian
Julai 23, 2023 16:50 MYT
Julai 23, 2023 16:50 MYT
SHAH ALAM : Pejabat Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan berhubung kes penipuan bernilai RM4 juta dan mempunyai kaitan dengan individu yang dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.
Pengurusan pejabat berkenaan berkata, pihaknya tidak pernah melantik Adam Rosly Abdullah, mana-mana individu atau kumpulan untuk bertindak menjadi wakil mereka apabila melibatkan sebarang urusan.
"Justeru itu, kami tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang tindakan yang telah atau akan dibuat oleh individu berkenaan yang jelas tidak mempunyai apa jua kaitan dengan kami.
"Sekiranya anda adalah mangsa penama di atas atau pernah dihubungi oleh mana-mana pihak yang mengaku sebagai wakil pejabat Zuraida, sila hubungi pihak kami dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Baru-baru ini, terdapat dakwaan berlakunya satu penipuan sehingga melibatkan nilai RM4 juta yang dikaitkan dengan pejabat Zuraida dan dipercayai didalangi oleh seorang individu dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.
Sebarang pertanyaan, pengesahan dan aduan mengenai perkara itu boleh diajukan melalui emel zuraida.kamaruddin.ampang@gmail.com. - Sinar Harian