Pejabat Siasatan Jenayah IPK Perak terbakar
Aida Aziz
Jun 27, 2023 17:02 MYT
Jun 27, 2023 17:02 MYT
IPOH: Pejabat Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini musnah terbakar sebanyak 40 peratus dalam kejadian kebakaran hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.14 petang.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi mendapati kebakaran membabitkan pejabat Siasatan Jenayah di tingkat dua yang berkeluasan 20 kali 20 kaki persegi.
"Kebakaran di bilik tersebut dianggarkan sebanyak 40 peratus dan sehingga kini operasi pemadaman sedang dijalankan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Operasi tersebut diketuai oleh Ketua Balai BBP Ipoh, Azman Hussin.