Pejabat PM adakan taklimat harian, salur maklumat sahih kepada rakyat

Umavathi Ramayah
Mac 1, 2025 12:20 MYT
Orang ramai akan dapat menyaksikan Taklimat Harian Perdana Menteri yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah secara langsung di Facebook Pejabat Perdana Menteri (PMO). - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Bermula hari ini, satu taklimat yang dikendalikan Pejabat Perdana Menteri akan disiarkan secara langsung setiap hari bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.
Taklimat ini akan disiarkan menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia pada jam 11 pagi dan 5 petang setiap hari.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, taklimat harian itu bertujuan memperjelaskan perkembangan semasa, dasar utama kerajaan serta isu-isu yang menjadi perhatian rakyat.
Menurutnya, ia juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
[TERKINI] PMO adakan taklimat dua kali sehari setiap hari
Beliau yang akan menyampaikan taklimat tersebut turut menegaskan langkah itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam meningkatkan ketelusan serta memperkukuh penyampaian maklumat kepada masyarakat.
"Dalam era pasca normal yang menyaksikan maklumat tersebar luas dengan pantas, keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih adalah amat penting.
"Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, yang akan disiarkan secara langsung.
"Tujuan utama taklimat ini adalah untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi yakni Pejabat Perdana Menteri. Jadi orang ramai disaran mengikuti taklimat ini bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai dasar serta inisiatif kerajaan secara langsung daripada sumber rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung menerusi Facebok Perdana Menteri di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Nashrul juga memaklumkan inisiatif itu juga selaras dengan gagasan MADANI yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat.
Dalam pada itu, bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba, katanya, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan dalam usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, selain menyantuni masyarakat menerusi Majlis Berbuka Puasa MADANI.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.
"Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Pejabat Perdana Menteri percaya bahawa komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran, dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan Kerajaan," tambah beliau.
Selain itu kata Nashrul, Perdana Menteri juga akan melaksanakan Program Ihya’ Ramadan di kementerian-kementerian sebagai usaha menjadikan bulan mulia ini sebagai madrasah rohani, bukan hanya dalam aspek ibadah tetapi juga dalam pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
Menurutnya, beliau juga dijadualkan mengunjungi pelbagai kementerian bagi menyantuni penjawat awam serta menyampaikan tazkirah ringkas bersama penceramah jemputan.
Program itu kata beliau, adalah bertujuan memperkukuh nilai-nilai kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab, selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan MADANI.
"Melalui program ini, nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan MADANI," ujarnya.
Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif-inisiatif ini, demi kebaikan dan kemajuan negara kita.
#penjawat awam #Anwar Ibrahim #taklimat harian #berita sahih
;