Pejabat Perdana Menteri pandang serius tindakan pihak salah guna nama, kedudukan PMO
Fareez Azman
Mac 15, 2023 18:28 MYT
Mac 15, 2023 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) memandang serius tindakan mana-mana pihak secara sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukannya bagi tujuan tertentu.
PMO juga menyifatkan tindakan pihak berkenaan amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dambak negatif terhadap kredibiliti institusi kerajaan.
"Tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti Pejabat Perdana Menteri dan institusi Kerajaan.
"Justeru, pihak Pejabat Perdana Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Bagaimanapun kenyataan terbabit tidak memetik mana-mana individu mahupun pemimpin yang dikatakan menyalahgunakan nama atau kedudukan PMO.