Pejabat Perdana Menteri beri respon kepada Al Jazeera berhubung laporan kes bunuh Altantuya
Astro Awani
September 11, 2015 13:12 MYT
September 11, 2015 13:12 MYT
Menurut Al Jazeera, pejabat Perdana Menteri berkata dakwaan yang terkandung dalam laporan agensi berita yang berpusat di Qatar itu tentang kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu pada 2006, sengaja berniat untuk mengelirukan dan tidak pernah ada bukti mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kes tersebut.
Laporan baru Al Jazeera dalam program isu semasa 101 East, turut mendakwa ada bukti menunjukkan Sirul Azhar Umar, salah seorang dari dua anggota polis yang disabitkan dengan pembunuhan Altantuya, sedang berunding untuk mendapat bayaran daripada beberapa individu di Malaysia sebagai habuan untuk tidak bersuara. Sirul ketika ini dalam persembunyian, dipercayai di Australia.
Al Jazeera memetik kenyataan rasmi dari seorang sumber di pejabat Perdana Menteri yang mengatakan dakwaan-dakwaan yang dibuat adalah palsu dan mempunyai agenda politik sendiri.
Kenyataan itu menyebut, Perdana Menteri tidak tahu menahu, tidak pernah berjumpa, tidak pernah berkomunikasi dan tiada kaitan dengan si mati.
"Dakwaan-dakwaan yang dilontarkan sengaja berniat untuk mengelirukan, dan dakwaan-dakwaan serupa digunakan sebagai asas kepada pelbagai teori konspirasi selama ini."
Menurut kenyataan itu lagi, "proses perundangan yang komprehensif telah dijalankan, termasuk siasatan polis dan proses mahkamah di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan. Pihak yang bertanggungjawab telahpun disabitkan dan dijatuhi hukuman.
Perdana Menteri tidak pernah dikaitkan dengan kes itu pada mana-mana peringkat proses perundangan tersebut, walaupun secara tidak langsung. Dakwaan-dakwaan berniat jahat ini juga sekaligus satu penghinaan kepada sistem perundangan negara."
Menurut Al Jazeera, wartawan Mary Ann Jolley yang menghasilkan laporan tersebut untuk 101 East, dideportasi dari Malaysia semasa menghasilkan laporan tersebut.