Pejabat Menteri Dalam Negeri nafi jemputan majlis sambutan hari jadi menteri

Bernama
Mac 16, 2021 14:46 MYT
Pejabat Menteri Dalam Negeri menafikan mesej tular mengenai jemputan kepada wartawan dan pengamal media bagi menghadiri majlis sambutan hari jadi menteri berkenaan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pejabat Menteri Dalam Negeri menafikan mesej tular mengenai jemputan kepada wartawan dan pengamal media bagi menghadiri majlis sambutan hari jadi menteri berkenaan.
Setiausaha akhbar kepada Menteri Dalam Negeri Zulkifli Bujang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan majlis yang kononnya akan berlangsung malam ini di Kuala Lumpur adalah palsu.
"Sehubungan itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri menyeru kepada semua pihak yang menerima jemputan palsu tersebut untuk tidak menghiraukan dan memanjangkan jemputan itu kepada rakan-rakan media yang lain," katanya.
Selain pengamal media, mesej yang tular di aplikasi WhatsApp itu turut menjemput menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen ke majlis yang kononnya berlangsung 8 malam ini.
-- BERNAMA
#Menteri Dalam Negeri #WhatsApp #Media #Parlimen #menteri #sambutan hari jadi