Pejabat KWSP Miri dipercayai dilempar 'molotov cocktail'

Astro Awani
Januari 8, 2021 17:13 MYT
Kesan terbakar jelas kelihatan pada ruang antara tingkat dua dan tiga pejabat KWSP di Miri. - Sumber foto: Sarawak Aritok
MIRI: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terletak di Pusat Komersial Centre Point, Miri, Sarawak rosak selepas dipercayai dilempar dengan bom petrol atau molotov cocktail, pada petang Jumaat.
Memetik laporan Borneo Post, saksi memberitahu kejadian dipercayai dilakukan seorang suspek bermotosikal yang bertindak melempar bom buatan sendiri itu ke arah pejabat berkenaan, seterusnya balingan itu terkena pada ruang di antara tingkat dua dan tiga bangunan itu.
Sementara itu portal Utusan Borneo melaporkan Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika mengesahkan mengenai kejadian terbabit.
Menurutnya, polis ke tempat kejadian sejurus menerima laporan dari Ketua Cawangan KWSP Miri sekitar jam 3.36 petang.
Siasatan lanjut masih dijalankan polis mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan.
#KWSP #bom petrol #molotov cocktail #Miri #Sarawak
;