Pejabat KWSP Alor Setar diserbu awal pagi sejak tiga hari lepas

Adie Sufian Zulkefli
Disember 23, 2020 18:41 MYT
Selain itu, ada juga berbaris sejak awal pagi kerana mahu membuat permohonan pengeluaran Akaun 1 di kaunter. - Gambar fail
ALOR SETAR: Sejak tiga hari lepas, pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini diserbu orang ramai sebaik ianya dibuka seawal jam 8 pagi.
Kesanggupan mereka berbaris panjang bertujuan untuk mengemaskini data peribadi seperti nombor telefon bimbit bagi memudahkan permohonan pengeluaran Akaun 1 i-Sinar secara dalam talian.
Selain itu, ada juga berbaris sejak awal pagi kerana mahu membuat permohonan pengeluaran Akaun 1 di kaunter.
Bagi pencarum Mohd Zahir Che Man, 52, beliau memilih hari ketiga selepas pengumuman untuk mengisi borang kerana tidak mahu bersesak.
Mohd Zahir yang datang pada Selasa, pulang hampa akibat terlalu ramai yang beratur di pejabat KWSP untuk urusan pengeluaran Akaun 1 i-sinar.
Pengeluaran wang i-sinar ini amat diperlukan amat diperlukan oleh bekas juruteknik penyelenggaraan kilang di Mergong ini bagi menampung kos pembedahan pemintasan jantung selepas tiga saluran telah tersumbat.
"Doktor cakap, kalau tidak boleh masuk saya kena buat pembedahan, jadi saya memang memerlukan wang dari Akaun 1 ini.
"Kalau boleh dikeluarkan, saya ada sikit duit untuk buat pembedahan dan juga boleh guna untuk anak-anak masuk sekolah," katanya kepada Astro AWANI.
Mohd Zahir datang ke pejabat KWSP Alor Setar ditemani anak keduanya Nur Farah Haziela, 21, yang sangat bimbang keadaan jantung ayahnya yang sangat lemah ketika ini.
Perjalanan jauh lebih 20 kilometer dari Kampung Sematang Kabu, Alor Janggus membuatkan Nur Farah khuatir dengan tahap kesihatan ayahnya.
Selain itu dia juga bimbang sekiranya ayahnya perlu berdiri dengan jangka waktu yang lama untuk menunggu giliran berurusan di kaunter.
Namun Nur Farah bersyukur kerana ayahnya tidak perlu menunggu lama kerana dibantu kakitangan KWSP yang membantu melancarkan proses permohonan.
Dengan pengeluaran ini dapatlah menampung kos rawatan pembedahan jantung yang dianggarkan melebihi RM15,000 dan selebihnya menampung perbelanjaan penyediaan barangan kelengkapan serta yuran persekolahan tiga adiknya.
"Bulan sebelas, ayah sakit masa pergi ke bendang, waktu itu saya di tempat kerja terima panggilan dari emak yang pelik bila ayah tak balik biarpun dah masuk Maghrib.
"Bila kami pergi tengok, rupanya dia rebah dalam bendang jadi esoknya bawa ayah ke klinik jantung di Sahab Perdana.
"Doktor cakap tiga saluran injap jantung ayah tersumbat, jadi perlu buat pembedahan segera dan setiap bulan kena ambil ubat," cerita Nur Farah.
Sementara itu bagi Mohammad Alwi Iskandar, 53, pengeluaran dari akaun 1 ini amat diperlukan untuk menampung kos rawatan patah tulang bahunya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam tempoh Perintah Pergerakan Pemulihan (PKP) April lalu.
Menurut bapa kepada empat orang anak ini, wang itu sangat diperlukan ekoran dia hilang pekerjaan sebagai pemandu bas yang terpaksa diberhentikan akibat Pendamik COVID-19.
"Wang KWSP ini saya perlu untuk tampung kos perubatan saya selain duit dari Socso yang saya dapat sebelum ini," katanya.
#KWSP #akaun 1 #i-sinar #beratur #berbaris #awal pagi #COVID-19 #Perintah Pergerakan Pemulihan #PKP
;