Pejabat kedutaan dan Konsulat Malaysia di China terus beroperasi - Wisma Putra
Bernama
Februari 7, 2020 06:01 MYT
Februari 7, 2020 06:01 MYT
Pejabat kedutaan dan konsulat Malaysia di China akan terus memberi bantuan khidmat konsular kepada rakyat Malaysia dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara itu susulan penularan koronavirus 2019 (2019-nCOV) di republik itu.
Wisma Putra berkata keputusan kerajaan membawa pulang staf Wisma Putra yang tidak berkeperluan dan anggota keluarga mereka dibuat sebagai sebahagian daripada persediaan kerajaan dalam menangani jangkitan tersebut.
Dalam kenyataan di sini pada Jumaat, Wisma Putra berkata keputusan itu juga dibuat bagi mengurangkan risiko pendedahan kakitangan Malaysia dan ahli keluarga mereka kepada virus tersebut.
"Ini semestinya diharapkan dari mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab menghadapi situasi krisis akibat bencana buatan manusia atau alam semula jadi. Dalam konteks ini juga, proses pemulangan rakyat Malaysia dari Wuhan baru-baru ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama penuh pihak berkuasa berkaitan di China," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata dalam semangat yang sama, kerajaan juga mungkin perlu menasihatkan rakyat Malaysia lain untuk kembali ke tanah air secara sukarela sekiranya keadaan memerlukan dengan mengambil kira usaha pihak berkuasa China membendung wabak itu.
Ia berkata sebarang usaha kerajaan Malaysia akan dilaksanakan secara rundingan dan kerjasama dengan kerajaan China.
Wisma Putra menegaskan bahawa penghantaran pulang rakyat Malaysia dari negara itu tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang menjangkaui apa yang sebenarnya dihasratkan iaitu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Kementerian itu berkata kerajaan yakin dengan persediaan dan kemampuan negara China dalam menangani wabak tersebut serta menegaskan pintu negara sentiasa dibuka untuk pelawat dari China kecuali dari kawasan Wuhan dan sekitarnya yang dikatakan pusat penyebaran virus berkenaan.
Selain pejabat kedutaan di Beijing, Malaysia juga mempunyai konsulat di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi'an, selain Taipei dengan jumlah pegawai Wisma Putra seramai 34 orang dan 77 orang tanggungan.
-- BERNAMA
#Beijing
#China
#coronavirus
#Hong Kong
#keluarga
#koronavirus
#Malaysia
#rakyat Malaysia
#Wisma Putra