Pejabat bengkel kenderaan musnah terbakar
Aida Aziz
Oktober 13, 2022 07:23 MYT
Oktober 13, 2022 07:23 MYT
IPOH: Sebuah pejabat bengkel kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran di Pusat Servis Kenderaan, Jalan Pengkalan 2, di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.12 malam.
Kerja-kerja pemadaman api dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, dengan dibantu BBP Batu Gajah.
"Kebakaran membabitkan bahagian dalaman pejabat bengkel kereta dengan anggaran kemusnahan sebanyak 20 peratus.
"Bagaimanapun insiden itu tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis malam.
Menurut kenyataan itu lagi, pasukan bomba kemudiannya membuat kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran 100 kaki 2 pancutan sehingga api berjaya dipadam.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rozaidee Kharmarulzaman itu tamat pada jam 10.07 malam.