Peguam upah 50 individu ceroboh, kawal, ambil alih kuil - Muhyiddin

Astro Awani
November 28, 2018 14:45 MYT
Muhyiddin pada sidang media berhubung insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, USJ 25, Putra Heights di Kementerian Dalam Negeri hari ini. Turut hadir, Mohamad Fuzi (kanan). --fotoBERNAMA
Polis mendapati peguam kepada syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd mengupah 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada Isnin lalu.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kumpulan itu diberi upah RM150,000 dengan setiap seorang menerima antara RM150 dan RM300.
Jelasnya, dua peguam terbabit antara 21 individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan insiden rusuhan berkenaan.
“Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab ini menimbulkan kemarahan penganut sehingga timbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda.
“Kita kesal dengan tindakan cuai diambil pemaju. Sekiranya tindakan gopoh ini tidak diambil, saya yakin kekecohan tidak berlaku,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun tidak menolak andaian awal peruntukan tersebut diberikan oleh pemaju kepada peguam berkenaan.
"Andaian kita, oleh kerana dia adalah peguam kepada One City, dan dia diberi peruntukan.
"Saya tak fikir peguam secara bermurah hati hendak bagi duit kepada mereka ini. Tentu ada kaitan dengan sumbangan daripada syarikat untuk menyelesaikan masalah dia. Itu tujuannya.
"Langkah yang diambil oleh peguam itulah, apa yang kita lihat berlaku pada hari ini. Itu tindakan yang saya kira memang tidak tepat," tambahnya.
Terdahulu, beliau telah diberikan taklimat terperinci oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berhubung dua insiden di kuil berkenaan pada awal Isnin dan Selasa.
BACA: Kronologi insiden Kuil Sri Maha Mariamman
Dalam kejadian pada awal pagi 26 dan 27 November lalu, 23 kenderaan musnah dibakar serta cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecahkan oleh sekumpulan perusuh.
Insiden berkenaan turut menyebabkan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang didakwa diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal buat masa ini.
BACA: Muhammad Adib dipindahkan ke IJN, semakin stabil
One City adalah pemaju yang didakwa memiliki tanah kuil berkenaan.
Sebelum ini, ketika ditemui pihak media, seorang individu dipercayai wakil syarikat berkenaan menafikan akan mengadakan sidang media berhubung kes itu.
Muhyiddin dalam pada itu menggesa pihak yang terlibat dalam pertikaian hak milik tanah tapak Kuil Sri Maha Mariamman supaya menyelesaikan pertikaian secara baik menurut saluran undang-undang.
"Jangan ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi isu ini untuk mencetuskan ketegangan kaum," katanya.
#bomba #kekecohan kuil #kuil #Muhyiddin Yassin #One City Development Sdn Bhd #polis #seafield #siasatan #Sri Maha Mariamman #Subang Jaya
;