Peguam tidak mengaku salah dengan sengaja sebabkan kecederaan
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 8, 2024 12:20 MYT
Oktober 8, 2024 12:20 MYT
IPOH: Seorang peguam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita lain, pada Februari lalu.
Tertuduh, Goh Suan Poi, 72 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Evangelin Simon Silvaraj.
Mengikut pertuduhan, peguam itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan seorang wanita berumur 35 tahun di tempat letak kereta Pasaraya AEON Kinta City, di sini, lebih kurang jam 6.46 petang, 18 Feb 2024.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey, manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil.
Monisha mencadangkan jaminan RM1,000 tetapi Khairilazwar memohon tidak dikenakan sebarang jaminan.
Menurut Khairilazwar, anak guamnya adalah bekas guru dari tahun 1976 hingga 1997 sebelum menjadi peguam sehingga sekarang.
Katanya, dia yakin tertuduh akan hadir ke mahkamah dan telah memberi kerjasama kepada pihak polis.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes.