Peguam Rosli Dahlan dapat kebenaran cabar penahanan secara salah
Bernama
April 3, 2024 15:35 MYT
April 3, 2024 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Peguam Rosli Dahlan, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan kerajaan, berhubung dakwaan salah guna kuasa kerana menangkap dan menahan beliau secara salah pada Oktober tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian, selepas mendapati terdapat isu-isu yang perlu dibicarakan berhubung pembekuan akaun, reman, tangkapan dan sekatan perjalanan beliau.
"8 Mei ini ditetapkan untuk pengurusan kes," kata Ahmad Kamal pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom, yang turut disertai peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Rosli dan Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim bertindak bagi pihak kerajaan.
Pada 29 Dis 2023, Rosli memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urussetia Ketua Polis Negara Datuk Muhammad Hasbullah Ali serta Timbalannya ACP Foo Wei Min, dan Pegawai Penyiasat Superintenden Mohd Faizal Mohd Atan sebagai responden pertama hingga kelima.
Turut dinamakan Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, PDRM, JIM dan kerajaan.
Rosli memohon perintah untuk membatalkan keputusan atau tindakan responden pertama hingga kelima, yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengaitkan beliau dengan laporan polis berkaitan i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve), yang tiada kena-mengena dengannya.
Beliau juga memohon perintah bahawa tindakan kelima-lima responden yang menyebabkan tangkapan, penahanan dan tahanan reman terhadapnya pada 26 Okt 2023, serta membekukan akaun banknya menyalahi undang-undang serta melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Peguam itu turut memohon agar mahkamah membatalkan sekatan ke luar negara terhadapnya.
-- BERNAMA