Peguam pertahan tuduhan terhadap warga Filipina

T K Letchumy Tamboo
Mac 22, 2013 10:04 MYT
Kerajaan Malaysia berhak memfailkan pertuduhan jenayah memerangi Seri Paduka ke atas pengganas di Lahad Datu kerana mereka melakukan keganasan dan melancarkan serangan.
Peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, tidak ada sebarang cacat celanya apabila Peguam Negara mengenakan pertuduhan berat itu yang membawa hukuman mati.
“Keganasan adalah tindakan melancarkan serangan ke atas orang ramai. Itulah tindakan yang dilakukan oleh pihak militan Sulu. Kita boleh membandingkan perbuatan ini dengan kejadian 11 September di Amerika Syarikat. Jika kejadian tersebut dikatakan sebagai satu aktiviti keganasan, jadi krisis ini juga harus dilihat dari aspek yang sama.
“Kita tidak boleh mendakwa mereka hanya atas tuduhan menggangu ketenteraman awam. Jika ada rakyat Malaysia atau Filipina yang melancarkan serangan ke atas orang ramai, dia boleh didakwa atas tuduhan yang sama di mahkamah,” katanya kepada Astro Awani.
Beliau diminta mengulas dakwaan waris Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III yang mendakwa tuduhan di mahkamah itu tidak sah kerana mereka yang didakwa itu adalah "rakyat" beliau yang berada di "tanahair mereka sendiri" iaitu Sabah.
Kumpulan pengganas itu menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu bagi membangkitkan semula tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
Sementara itu, peguam Salim Bahir senada dakwaan itu adalah sah. Katanya undang-undang Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti pencerobohan apatah lagi oleh sebuah wilayah tidak berdaulat seperti Sulu. Sabah menurutnya telah diiktiraf sabahagian daripada Malaysia.
“Kita boleh mendakwa mereka sebagai pejuang di bawah Konvensyen Geneva tetapi disebabkan wilayah mereka adalah bukan sebuah wilayah berdaulat, kita hanya akan mendakwa mereka seperti sebuah pihak yang melancarkan keganasan dan perang terhadap Yang Di Pertuan Agong,” kata beliau.
Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Perundangan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, tertuduh mempunyai hak perlembagaan untuk diwakili peguam memandangkan Artikel 5 perlembagaan Malaysia melindungi semua warga asing dan tempatan, penderhaka, pembunuh dan pengganas.
“Ada di antara mereka bakal berdepan dengan hukuman mati, ianya amat penting bagi mereka diberi hak penuh dan adil bagi mereka membuat rayuan.
“Memandangkan situasi mempunyai implikasi antarabangsa, kita perlu memastikan keadilan dapat dilihat dan dilaksanakan,” tambah beliau.
Dua warga Filipina, Atik Hussein Abu Bakar dan Basad H Manuel didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau pada Khamis mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan ke atas Yang Di-Pertuan Agong.
Mereka bersama-sama empat lagi warga Filipina – Holland Kalbi, Lin Mad Salleh, Habil Suhaili dan Timhar Hadir turut didakwa terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas dan dituduh mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Dua lagi, Kadir Uyung dan Lating Tiong juga bakal berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas.
#Filipina #Jamalul Kiram III #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #peguam #Sabah #Sulu #Tan Sri Abdul Gani Patail