Peguam pemerhati TMJ desak Akta Kanak-Kanak 2001 ditambah baik
Umavathi Ramayah
Mei 3, 2023 16:44 MYT
Mei 3, 2023 16:44 MYT
KUALA LUMPUR: Peguam pemerhati yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kes pengabaian dan penderaan membabitkan Bella merupakan manifestasi kelompangan perundangan yang perlu segera dilitupi.
Justeru empat peguam itu menerusi satu kenyataan mendesak kerajaan membuat penambahbaikan kepada Akta Kanak Kanak 2001 supaya lebih inklusif bagi melindungi kanak-kanak dari pengabaian, penganiayaan, penderaan dan ekploitasi.
"Antara lain adalah penting bagi memastikan operasi pusat yang berkaitan dengan asuhan, jagaan atau perlindungan kanak kanak hanya dilakukan oleh mereka yang benar benar terlatih dan bukan menjadikan pusat tersebut sebagai medium untuk mengaut derma atau sumbangan dari mana mana pihak," kata kenyataan itu di sini, pada Rabu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.
Dalam pada itu, empat peguam itu turut mendesak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-kanak yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-kanak mengaktifkan segera
Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-kanak yang komprehensif bagi memastikan kes Bella tidak berulang lagi.
"Pelan dan dasar ini perlu dilaksanakan dengan pematuhan tegas dan tidak boleh hanya berbunyi secara bermusim setiap kali berlakunya kes penderaan kanak kanak," kata kenyataan itu.
Menurutnya, sejak mula mengikuti kes Bella, mereka melihat sendiri kecederaan akibat penderaan adik Bella dan berpandangan ianya terlalu sakit untuk ditanggung oleh seorang kanak kanak hingga kesan kekalnya akan menyebabkab trauma dari segi mental, emosi dan fizikal anak tersebut.
"Namun dengan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen pada hari ini, tertuduh masih mempunyai ruang untuk merayu ke Mahkamah Tinggi.
"Jika tertuduh berkehendak sedemikian dan pihak pendakwaan juga mempunyai hak untuk merayu jika hukuman yang diputuskan pada hemah pendakwa raya sebagai tidak mencukupi," ujarnya.
Empat peguam itu selaku peguam pemerhati lantikan TMJ merakamkan penghargaan kepada aktivis JusticeforBella yang membuka mata masyarakat akan episod penderaan yang telah berlaku dan menjunjung kasih di atas keprihatinan Tunku Mahkota Johor dan isteri.