Peguam 'pelik' enam kes disiasat serentak terhadap Anwar
Hasimi Muhamad
Oktober 16, 2020 18:02 MYT
Oktober 16, 2020 18:02 MYT
KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh meluahkan rasa ‘pelik’ terhadap enam kertas siasatan membabitkan Ketua Pembangkang itu.
Menurut Ramkarpal, kebiasaannya siasatan tidak dijalankan secara tergesa-gesa, sebaliknya, melibatkan tempoh masa tertentu.
Bagaimanapun, kata beliau, Anwar memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan tersebut.
“Kami boleh menyatakan bahawa pihak polis mengambil tindakan yang prefesional.
“Tetapi yang pelik adalah kenapa semua enam laporan disiasat secara tergesa-gesa seperti ini?
“Biasanya mereka mengambil masa untuk menyiasat (kesemua kertas siasatan) dan siasatan melalui tempoh masa tertentu,” katanya dalam sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Jumaat.
Jelas Ramkarpal, kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Terdahulu, Anwar selesai memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sekita pukul 5 petang.
Ahli Parlimen Port Dickson itu memberi keterangan bagi enam kes yang disiasat terhadapnya.
Anwar berkata, penjelasan telah diberikan kepada polis yang mana senarai nama telah diserahkan kepada presiden setiap parti dan menjadi urusannya untuk dipersembahkan ke Yang DiPertuan Agong.
Anwar sebelum ini diminta hadir selepas terdapat 113 laporan dibuat terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berhubung penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen menyokong pimpinannya.
#Anwar Ibrahim
#Bukit Aman
#laporan polis
#Ramkarpal Singh
#kertas siasatan
#Ibu Pejabat Polis Bukit Aman
#Kuala Lumpur