Peguam Negara tolak representasi kedua pemilik Crackhouse Comedy Club gugur 3 pertuduhan - Peguam

Fareez Azman
Mei 31, 2023 16:12 MYT
Peguam Bela M. Pravin mewakili Mohamad Rizal berkata, keputusan itu dimaklumkan menerusi satu surat berhubung perkara itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu diberitahu Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi kedua pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel untuk mengugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman dihadapinya.
Peguam Bela M. Pravin mewakili Mohamad Rizal berkata, keputusan itu dimaklumkan menerusi satu surat berhubung perkara itu.
"Kami memerlukan masa untuk mendapat arahan daripada anak guam," jelasnya pada prosiding itu.
Justeru katanya, pihak pembelaan memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan esok dan lusa ditangguhkan kerana anak guamnya mungkin memfailkan satu lagi representasi mengugurkan pertuduhan dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman mengesahkan representasi kedua yang dihantar ditolak dan memohon pihak pembelaan untuk memasukkan representasi baharu dengan segera untuk diteliti pihak AGC.
Mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan keputusan representasi ketiga serta melapangkan tarikh perbicaraan kes pada 1 dan 2 Jun ini.
Pada 20 Jan lepas, AGC menolak representasi dikemukakan Mohamad Rizal bagi menggugurkan tiga pertuduhan tersebut sebelum tertuduh mengemukakan representasi kedua pada 6 April.
Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil 'Rizal van Geyzel, Instagram 'rizalvangeyzel' dan TikTok 'rizalvangeyzel', antara 4 hingga 6 Julai 2022.
Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.
#Mohamad Rizal Johan Van Geyzel #Jabatan Peguam Negara #Crackhouse Comedy Club #keputusan mahkamah
;