Peguam Najib sakit, perbicaraan 1MDB ditangguh

Astro Awani
Oktober 6, 2022 17:49 MYT
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, ke Selasa depan.
Ini berikutan peguam bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sedang cuti sakit sehingga 9 Oktober.
Peguam Alaistair Brandah Norman memaklumkan, Muhammad Shafee mengalami demam dan jangkitan tekak yang teruk.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun menolak permohonan supaya prosiding Selasa ini ditetapkan bagi pengurusan kes dengan alasan Muhammad Shafee mengendalikan satu kes rayuan di Mahkamah Tinggi.
Sequerah turut menolak permohonan untuk melapangkan prosiding Rabu ini kerana Muhamad Shafee akan mewakili Najib dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya hadir pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau memberitahu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam untuk memastikan saksi hadir ke mahkamah pada Selasa.
“Kita mempunyai komitmen untuk menyelesaikan perbicaraan ini. Kita tidak boleh menunggu kes lain (selesai di hadapan mahkamah lain),” kata Sequerah.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
#Najib Razak #1MDB #1Malaysia Development Berhad #Muhammad Shafee Abdullah #peguam sakit
;