Peguam Najib nafi sengaja lengah fail saman terhadap WSJ
Bernama
November 2, 2015 16:51 MYT
November 2, 2015 16:51 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melambat-lambatkan untuk memfailkan saman terhadap The Wall Street Journal berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi sedang menunggu jawapan WSJ mengenai Akta SPEECH, menurut peguam mewakili perdana menteri.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata beliau tidak mahu saman itu ditolak atas aspek teknikal, jika tidak lakukan dengan betul.
"Kami tidak melambat-lambatkan untuk memfailkan saman, tetapi kami mahu melakukannya dengan betul pada kali pertama. Kami tidak mahu saman itu diketepikan atau ditolak atas aspek teknikal," katanya kepada pemberita ketika ditanya kenapa saman itu masih belum difailkan.
Katanya beliau perlu menunggu jawapan daripada WSJ berhubung sama ada ia akan menggunakan Akta SPEECH dalam pembelaannya.
"Saya sedang menunggu jawapan yang jelas daripada WSJ, tetapi peguam mereka tidak mahu menyatakan sama ada mereka akan menggunakan Akta SPEECH atau tidak," katanya.
Akta SPEECH (Securing the Protection of our Enduring and Established Constitutional Heritage) (Ikatan Perlindungan terhadap Warisan Perlembagaan Kukuh dan Berpanjangan) merupakan undang-undang statutori di Amerika Syarikat yang menjadikan penghakiman fitnah asing tidak boleh dikuatkuasakan di mahkamah-mahkamah di Amerika, kecuali sama ada undang-undang diguna pakai itu menawarkan sekurang-kurangnya perlindungan setara sepertimana dalam Pindaan Pertama Amerika Syarikat (berkaitan ucapan bebas), atau defendan telah didapati bertanggungjawab, walaupun sekiranya kes telah didengar di bawah undang-undang Amerika.
Mengenai sama ada saman itu akan difailkan, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin pula berkata, Najib, sebagai plaintif, ada hak untuk memilih lokasinya.
Jika anak guamnya itu mahu memfailkan saman itu, beliau memilih untuk memfailkannya di Malaysia dan bukannya di Amerika Syarikat kerana beliau dikenali di sini, kata rakan kongsi Hafarizam Wan & Aisha Mubarak itu.
"Plaintif akan memfailkan saman (jika beliau mahu memfailkan saman) di negara ini iaitu tempat reputasinya terjejas. Pertimbangkan rasional ini - kenapa pula anda mahu memfailkan saman di negara yang anda tidak tinggal di
situ?" katanya.
Jika saman itu difailkan, plaintif bukan sahaja akan memohon justifikasi tetapi juga penilaian ganti rugi, kata Firoz Hussein.
Pada 8 Julai, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat kepada Dow Jones, penerbit The WSJ, meminta penjelasan berhubung pendiriannya berkaitan dakwaan bahawa RM2.6 bilion dana 1MDB telah dideposit ke dalam akaun peribadi Najib, dalam artikel diterbitkan pada 2 dan 6 Julai.
WSJ, pada 23 Julai dalam jawapan kepada surat itu, menyatakan ia tidak perlu memberi penjelasan tentang pendiriannya berhubung dua artikel itu.