Peguam mohon batal permohonan SPRM dapatkan dokumen berhubung penyelesaian 1MDB
Bernama
November 8, 2023 00:01 MYT
November 8, 2023 00:01 MYT
KUALA LUMPUR: Peguam Rosli Dahlan memohon untuk membatalkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan dokumen daripadanya yang disyaki menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan proses penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rosli, 62, selaku pemohon memfailkan notis usul itu di Mahkamah Tinggi pada 3 Nov lepas menerusi Tetuan Vin Law Co. dengan menamakan SPRM sebagai responden.
Peguam itu antara lain memohon SPRM membayar ganti rugi punitif dan teladan kepadanya atas dakwaan menyalahgunakan proses mahkamah dan memfitnah beliau dengan menamakannya sebagai responden pertama dalam permohonan SPRM.
Rosli, yang merupakan peguam kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes berkaitan projek Jana Wibawa mendakwa, SPRM tidak mempunyai kedudukan undang-undang atau locus standi untuk mendapatkan perintah yang dipohon dalam permohonan itu.
Beliau turut mendakwa tindakan SPRM menamakannya sebagai responden pertama adalah berniat jahat, mengaibkan, remeh, menyusahkan dan memfitnah sedangkan tiada sebarang dokumen yang dipohon dalam permohonan SPRM berkaitan dengan peguam itu.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim K. Muniandy esok.
Pada 11 Okt lepas, SPRM memohon peguam itu mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan Rosli sebagai peguam 1MDB, penyata akaun serta akaun firma guaman, Rosli Dahlan Saravana Partnership dan dokumen itu diperlukan SPRM untuk mengenal pasti pelantikan peguam itu sebagai peguam 1MDB dalam urusan penyelesaian dengan pihak Kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.
-- BERNAMA