Peguam lepas tanpa bebas 90 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM9 juta

Bernama
November 15, 2021 17:33 MYT
Permohonan How Chee Hong untuk membatalkan kesemua 90 pertuduhan pengubahan wang haram dibenarkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan seorang peguam daripada 90 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM9 juta.
Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan How Chee Hong, 53, untuk membatalkan kesemua 90 pertuduhan yang dihadapinya.
"Permohonan pemohon (How) untuk membatalkan kesemua 90 pertuduhan pengubahan wang haram dibenarkan. Pemohon dilepas tanpa dibebaskan," katanya dan memerintahkan wang jaminan RM150,000 dikembalikan kepada pemohon.
Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.
Prosiding itu turut disertai peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk C. Vignesh Kumar yang mewakili How.
Sebelum ini, mahkamah telah mendengar keterangan dua saksi pendakwaan iaitu pegawai bank dan hari ini ditetapkan untuk keputusan permohonan How bagi membatalkan kesemua 90 pertuduhan pengubahan wang haram.
How memfailkan permohonan itu pada 17 Mei lepas, atas alasan antaranya pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kesalahan pengubahan wang haram kerana pemohon telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah yang inti pati kedua-dua kesalahan itu adalah sama.
Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di CIMB Bank Bhd cawangan Solaris Mont Kiara, di sini antara 10 Jan 2011 dan 13 Jan 2012.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(a) dibaca bersama 87(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan How daripada pertuduhan pecah amanah berhubung perjanjian jual beli sebidang tanah di ibu negara bernilai RM9,056,124 antara 24 Dis 2010 dan 4 Jan 2012.
-- BERNAMA
#peguam #pengubahan wang haram #Pertuduhan #mahkamah
;