Peguam kongsi pengalaman kaedah polis dapatkan penyataan bersalah OKT
Sinar Harian
Jun 12, 2024 05:30 MYT
Jun 12, 2024 05:30 MYT
SHAH ALAM: Perkembangan terbaharu kes kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dibunuh menarik perhatian peguam, Liyana Marzuki untuk turut mengulas mengenai tragedi menggemparkan negara itu.
Liyana yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya melalui hantaran di X berkongsi pengalaman mengenai kaedah digunakan pihak polis untuk mendapatkan penyataan bersalah daripada orang kena tuduh (OKT).
"Ingat lagi dulu, masa saya jadi Timbalan Pendakwa Raya. Polis banyak guna kaedah dapat penyataan bersalah untuk 'short cut' kes. Tak perlu siasat banyak-banyak, bagi tekanan OKT mengaku saja.
"Banyak kes didapati OKT diseksa untuk mengaku bersalah walau dia tidak salah sebenarnya. Makanya, sebab banyak sangat kes salah guna kuasa berlaku, Jabatan Peguam Negara menolak pengakuan bersalah itu sebagai bukti kukuh.
"Cuma, pengakuan bersalah itu kalau dibuat depan Majistret (bukan depan polis) itu cerita lain. Itu dah ada pemberat, boleh digunakan untuk pembuktian," ujarnya menerusi hantaran petang semalam.
Tambah Liyana, perkara yang sama berlaku terhadap ibu Zayn Rayyan apabila semalam polis membawanya ke Mahkamah Majistret untuk rekodkan pengakuan bersalah bawah Seksyen 26 (1) Akta Keterangan.
"Itu yang terjadi pagi ini, apabila ibu Rayyan dibawa ke mahkamah. Pada saya, apa yang polis nak lakukan, nak bagi si ibu mengaku salah depan majistret.
"Namun, sebab polis bawa ibu Rayyan tanpa peguam dan peguam pun baru tahu pagi ini, ada prosiding pengakuan tersebut, peguam membantah.
"Makanya, ada proses lanjut akan dibuat, untuk pastikan pengakuan bersalah itu dibuat dengan rela dan bukan yang dipaksa," jelasnya
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar nasib Zayn Rayyan terbela.
"Itu kita akan tahu episod seterusnya. Pada kita, apa pun terjadi doa kita agar adik Zayn Rayyan terbela," katanya.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan. - Sinar Harian