Peguam GISB rayu kerajaan, pihak berkuasa lebih 'ihsan' dalam siasatan

Ridauddin Daud
Oktober 14, 2024 15:20 MYT
Rosli (kanan) menegaskan tiada keperluan menggunakan undang-undang keselamatan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap kumpulan GISB. -Astro AWANI
SHAH ALAM: Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd merayu kerajaan dan pihak berkuasa supaya lebih ‘ihsan’ ketika melakukan siasatan terhadap kumpulan itu.

Ringkasan AI
  • GISB Holdings Sdn Bhd merayu kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar lebih ihsan dalam siasatan terhadap mereka, menegaskan bahawa mereka bukan kumpulan pengganas dan tidak melakukan perniagaan haram.
  • Ahli GISB berkomitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan berharap siasatan dilakukan dengan adil tanpa menggunakan undang-undang keselamatan seperti SOSMA.
  • GISB juga merayu agar mereka dibenarkan untuk meneruskan perniagaan mereka bagi kelangsungan hidup, dan berharap isu ini dapat diselesaikan tanpa perlu tindakan saman sivil terhadap kerajaan.

Rayuan itu disuarakan peguam mereka, Datuk Rosli Kamaruddin yang menegaskan tiada keperluan menggunakan undang-undang keselamatan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap mereka.
Menurutnya, mereka bukanlah kumpulan pengganas atau melakukan perniagaan yang menyalahi undang-undang sehingga tindakan SOSMA dikenakan terhadap mereka.
“Tiada perniagaan haram dilakukan mereka di tanah air ini. Kami mendapati tiada pusat perjudian dibuka oleh GISB. Tiada judi dalam talian dibuka GISB. Tiada juga pusat atau rumah-rumah pelacuran yang di bawah GISB.
"Maka, siasatan terhadap GISB ini, lakukanlah mengikut penuh tertib undang-undang dan ihsan kerajaan. Berilah ihsan kepada mereka dalam siasatan dan tidak perlu tahanan berulang.
“Majoriti tahanan yang dibebaskan memaklumkan kepada kami (barisan peguam) ada yang ditahan sampai 20 hari sedangkan siasatan beberapa hari sahaja.
“Ini sesuatu yang tidak ihsan,” katanya dalam sidang media khas berkaitan isu GISB di sebuah hotel di Shah Alam pada Isnin.
Tambahnya, ahli GISB juga merayu mereka dibenarkan untuk berniaga semula bagi meneruskan kehidupan mereka.
Dalam pada itu, Rosli berkata, rayuan agar kerajaan lebih ihsan bukanlah bermakna ahli GISB enggan memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak berkuasa.
Jelasnya, mereka akan berikan kerjasama, cuma mereka berharap siasatan itu dilakukan dengan adil.
“Rayuan kami, mereka bukan kumpulan pengganas. Siasat, kalau ada pertuduhan, tuduh di mahkamah. Itu saja, buat seperti biasa.
“Ada perkara yang menyimpang dari agama, jabatan agama negeri, pejabat mufti, jalankan tanggungjawab seperti biasa.
“Tiada pihak akan halang siasatan, semua akan berikan kerjasama,” ujarnya.
Ketika ditanya adakah GISB akan menyaman kerajaan selepas semuanya selesai, Rosli berkata ia adalah sesuatu yang tidak perlu.
“Janganlah sampai timbul saman sivil. Saman semua ini adalah sesuatu yang tidak perlu. Tidak perlulah kita menambahkan lagi kegusaran dan saman pula terhadap kerajaan.
“Kalau boleh selesaikan dengan baik, mohon pihak berkuasa berikan ihsan, maka kita rasa tidak perlu (saman kerajaan),” katanya.
#SOSMA #gisbh #pengganas #Kanak-kanak #Global Ikhwan
;