Peguam Dr Dzulkefly tarik diri kes saman fitnah terhadap Najib
Sinar Harian
Jun 4, 2024 13:20 MYT
Jun 4, 2024 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Peguam kepada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menarik diri daripada mewakili Menteri Kesihatan itu, dalam kes saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung hantaran mengenai isu kronisme di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Ringkasan AI
- Peguam Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menarik diri daripada kes saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Mahkamah menangguhkan perbicaraan dan menetapkan tarikh baharu pada 5-7 Mac 2025, dengan pengurusan kes pada 10 Julai depan.
- Dr Dzulkefly mendakwa Najib memfitnahnya mengenai isu kronisme, sementara Najib menafikan fitnah tersebut dan menyatakan ia merujuk kepada Pakatan Harapan.
Ketika prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi, peguam Datuk SN Nair berkata, mahu menarik diri daripada mewakili Dzulkefly selaku plaintif.
Permohonan itu tidak dibantah peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya bermula Selasa hingga Khamis ini.
Arziah menetapkan tarikh baharu pada 5, 6, dan 7 Mac 2025 manakala pengurusan kes pada 10 Julai depan.
Dzulkefly yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, mengenai isu kronisme berserta satu lampiran paparan artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif (ketika itu bekas Menteri).
Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.
Plaintif mendakwa Najib telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.
Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang Najib selaku defendan atau ejen-ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran tersebut dalam sebarang cara.
Plaintif turut memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.
Najib mendakwa terbitan tersebut merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif (Dzulkefly). - Sinar Harian