Peguam ditemui mati jatuh bangunan

Sinar Harian
Ogos 19, 2018 18:39 MYT
Seorang peguam berusia 45 tahun ditemui terjatuh dari sebuah bangunan dalam kejadian di Solaris Dutamas pagi tadi. -Gambar fail
Seorang peguam berusia 45 tahun ditemui terjatuh dari sebuah bangunan dalam kejadian di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas, di sini, kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata pihaknya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Sentul.
Menurutnya, sebaik tiba, polis menemukan seorang lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan di kepala dan badan.
"Pemeriksaan polis menemui satu nota bertulisan tangan bertulis 'please call my son my daughter' (tolong hubungi anak lelaki dan anak perempuan saya).
"Menerusi penemuan nota itu, pegawai penyiasat kemudian telah pergi ke rumah anak perempuan mangsa," katanya.
Beliau berkata, menurut anak perempuan mangsa, dia tidak tahu bapanya yang tinggal di rumah bersebelahan telah keluar rumah.
Katanya, anak mangsa juga memaklumkan bapanya itu memang mempunyai masalah hutang dalam perniagaan.
Malah sehari sebelum kejadian, mangsa ada memberitahu anak perempuannya supaya beranggapan bahawa dia sudah mati.
"Anak perempuan mangsa mengesahkan bahawa nota yang ditemui bersama mangsa ketika kejadian adalah tulisan yang ditulis bapanya sendiri," katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#Munusamy #Pegawai Penyiasat #Pusat Kawalan Daerah Sentul #Solaris Dutamas #terjatuh bangunan
;