Peguam Algeria fail saman terhadap Israel di ICC
Bernama
Februari 3, 2024 11:00 MYT
Februari 3, 2024 11:00 MYT
ISTANBUL: Seumpulan peguam di Algeria pada Sabtu memfailkan tuntutan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague terhadap pegawai-pegawai Israel yang terlibat dalam jenayah genosid ke atas rakyat Palestin.
Algerian National Union of Bar Associations memaklumkan, tuntutan mahkamah itu turut ditandatangani persatuan peguam Tunisia, Jordan, Mauritania dan Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Tuntutan mahkamah itu berdasarkan dokumentasi yang dikumpul daripada sumber sahih termasuk foto dan video yang merakamkan perbuatan jenayah Israel di Semenanjung Gaza.
Ini termasuk dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kumpulan antarabangsa dan perintah terbaharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan bukti munasabah berhubung jenayah genosid di Gaza.
ICJ pada 26 Jan mendapati dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel melakukan genosid adalah munasabah.
Mahkamah mengeluarkan perintah sementara menggesa Israel menghentikan sekatan bantuan ke Gaza dan memperbaiki situasi kemanusiaan.
Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 27,131 rakyat Palestin dan mencederakan 66,287 lagi. - BERNAMA