Pegawai wanita sebuah universiti tempatan di Selangor ditahan reman SPRM

Astro Awani
Februari 14, 2023 15:48 MYT
Menurut sumber, suspek yang merupakan wanita berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pegawai di sebuah universiti tempatan kerana disyaki mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi projek pendidikan berjumlah kira-kira RM330,000 antara tahun 2018 hingga 2022.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Februari itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali.
Menurut sumber, suspek yang merupakan wanita berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Sumber berkata, suspek dipercayai membuat tuntutan palsu bagi projek itu sedangkan kakitangan di bawah suspek tidak terlibat langsung dengan aktiviti dan tuntutan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
#Pegawai wanita rasuah #buat tuntutan palsu #pegawai universiti tempatan #Rasuah
;