Pegawai terlibat masalah integriti runtuh imej PDRM - Mapim

Astro Awani
April 5, 2021 22:40 MYT
Mohd Azmi menjelaskan, keyakinan rakyat akan luntur jika wujud kepincangan dalam integriti, terhadap PDRM. - Facebook / Cikgu Azmi
KUALA LUMPUR: Segelintir pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mungkin terlibat dalam masalah integriti boleh meruntuh imej pasukan itu sendiri.
Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menjelaskan, keyakinan rakyat akan luntur jika wujud kepincangan dalam integriti PDRM.
Ujarnya, rakyat sepatutnya selesa dengan perkhidmatan anggota PDRM.
"Kami memandang serius pendedahan Ketua Polis Negara yang menyatakan kewujudan sejumlah pegawai PDRM yang dikatakan dibela oleh seorang VIP.
"Hal ini sangat serius dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Agensi keselamatan awam terpenting adalah PDRM. Keyakinan masyarakat terhadap PDRM adalah nadi kepada sistem pertahanan yang boleh dipercayai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menegaskan, integriti agensi yang dipertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan awam, menentukan sejauh mana kepercayaan masyarakat dapat diperkukuhkan di kalangan pegawai PDRM.
"Adalah sangat penting tindakan tegas diambil untuk memastikan PDRM bersih dari salah guna kuasa.
"Kami mengesa supaya pihak terbabit disiasat dengan menggunakan mekanisme bebas untuk memastikan mereka yang berkaitan didakwa (di mahkamah).
"Kami menyarankan sistem pemantauan yang berkesan diujudkan dalam PDRM, demi memastikan gejala sedemikian tidak berleluasa," tegasnya.
#PDRM #Bersih #Islam #polis #kerajaan #integriti #rakyat #MAPIM #kartel #VIP
;