Pegawai tadbir agama didakwa terima suapan RM6,000

Nazialita Geynna Maharan
April 26, 2018 17:08 MYT
Mahkamah menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Foto Astro AWANI
Seorang pegawai tadbir agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan berjumlah RM6,000 dengan meluluskan perbekalan makanan dan minuman untuk dua program empat tahun lalu.
Tertuduh, Tarmizi Sahari, 55, yang bertugas di Pejabat Agama Daerah Bagan Serai itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai tadbir agama untuk mendapatkan suapan RM6,000 bagi tujuan perbekalan makanan dan minuman program pemantapan akidah dan kursus belia-belia masjid masing-masing dijalankan pada 6 dan 9 Oktober 2014.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di pejabatnya di Bagan Serai pada 8 oktober 2014.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa R. Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.
Kumuthambal mencadangkan kepada mahkamah wang jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius yang dilakukannya.
Ahmad Shamil Azad, dalam rayuan terhadap anak guamnya memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah memandangkan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan lima anak yang masih belajar selain menghidap asma dan batuk.
Indra Nehru menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Dia membayar wang jaminan tersebut.
Mahkamah menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid #Bagan Serai #Ipoh #Mahkamah Sesyen #Pejabat Agama Daerah Bagan Serai #R Kumuthambal #S Indra Nehru #Tarmizi Sahari
;