Pegawai polis IPD Iskandar Puteri positif COVID-19, 111 kontak dikuarantin

Astro Awani
Disember 2, 2020 16:46 MYT
Ayob berkata seramai 111 kontak rapat pegawai terbabit diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula 30 November lalu.
ISKANDAR PUTERI: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, disahkan positif COVID-19.
Susulan itu, seramai 111 kontak rapat pegawai terbabit diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula 30 November lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata 111 individu itu terdiri daripada 36 pegawai, 71 anggota, seorang kakitangan awam dan tiga ahli keluarga.
"Pegawai terbabit sebelum ini berinteraksi dengan seorang suspek yang positif COVID-19 di luar kawasan IPD.
"Kita bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengawal dan mengelakkan penularan, justeru ramai pegawai dan anggota diarah jalani kuarantin," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah, Dadah dan Sosial (MEKAR) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob berkata, operasi IPD terbabit kini dibantu oleh pegawai dan anggota IPK Johor berikutan bilangan yang dikuarantin terlalu ramai.
#polis #positif #COVID-19 #ipd iskandar puteri #kuarantin #IPK #Johor #Johor Bahru #ketua polis johor #Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
;