Pegawai polis ditahan halang anggota MPV jalankan tugas, ingkar PKP
Bernama
September 6, 2020 06:51 MYT
September 6, 2020 06:51 MYT
Seorang pegawai polis antara 227 orang yang ditahan dalam operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) di Petaling Jaya awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pegawai berusia 39 tahun itu ditahan pada kira-kira 3 pagi di sebuah pusat hiburan di Kelana Jaya selepas menghalang anggota Unit Kenderaan Peronda (MPV) menjalankan tugas pemantauan PKPP.
Menurutnya pasukan MPV berkenaan ke pusat hiburan itu selepas menerima laporan premis tersebut masih beroperasi dan dipenuhi pengunjung sekalipun sudah menghampiri 3 pagi.
"Ketika kejadian, seorang lelaki dipercayai pelanggan kelab berkenaan telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan yang bertugas di bawah kontinjen Selangor selain membuat provokasi dengan cara menghina dan cuba mengugut anggota polis MPV yang sedang menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi semalam.
Nik Ezanee berkata susulan itu, lelaki tersebut ditahan dan semakan yang dilakukan kemudian mendapati dia adalah pegawai polis yang bertugas di sebuah ibu pejabat polis daerah di Selangor.
Katanya, kes itu disiasat menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 11(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar PKP.
Mengenai operasi awal semalam, beliau berkata serbuan dilakukan di tiga premis hiburan berasingan di daerah itu yang turut menyaksikan pihaknya mengeluarkan kompaun kepada 227 individu kerana ingkar PKPP.
-- BERNAMA
#anggota MPV
#ibu pejabat polis daerah
#Kelana Jaya
#kompaun
#kontinjen Selangor
#menghalang penjawat awam
#menghina
#Nik Ezanee Mohd Faisal
#operasi
#pematuhan
#penjawat awam
#Petaling Jaya
#PKP
#PKPP
#polis
#provokasi
#pusat hiburan
#Selangor
#serbuan
#ugut