Pegawai polis didakwa bunuh pelajar, kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

Abd Razak Mohd Ali
Mac 21, 2024 10:20 MYT
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Majistret Ipoh. - Astro AWANI
IPOH: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membuat keputusan memindahkan kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh seorang pelajar berusia 17 tahun di Jalan Taman Jati, Meru, 15 Disember lalu, ke Mahkamah Tinggi.
Majistret S. Punitha membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian, mengikut Seksyen 117 A(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, tiada tarikh yang ditetapkan untuk kes tersebut disebut semula di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan berpakaian serba hitam, lengkap bertutup kepala dan pelitup muka.
Pada 18 Disember lalu, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, dituduh di Mahkamah Majistret sama dan mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Februari lalu sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan-laporan berkaitan seperti laporan kimia.
Bagaimanapun, Mahkamah Majistret yang bersidang pada 7 Februari menetapkan hari ini sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes berkenaan.
Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan dokumen bagi perbicaraan, mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Majistret S. Punitha membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon lebih masa untuk melengkapkan dokumen.
Mengikut pertuduhan, pegawai berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.
Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Akmal Mod Said dan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh, diwakili peguam Cindy Wong Xin Tian.
Turut hadir peguam pemerhati keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.
#pegawai polis #bunuh pelajar #Mahkamah Tinggi #Mohd Nazri Abdul Razak
;